Selasa, 20 Maret 2018

Kisah Hasan Al-Basri dan sepasang mata seorang gadis

Jawahirul Bukhari menerangkan bahawa Hasan basri sewaktu mudanya adalah seorang yang sangat tampan. Beliau sangat suka memakai pakaian yang bagus-bagus dan suka berjalan disekitar kota Basrah. Pada suatu hari, sedang berjalan-jalan dia melihat seorang wanita berpurdah. Mata wanita itu sangat cantik dan menarik perhatiannya. Lalu dia mengikuti gadis itu dari belakang.


Wanita itu yang baru menyedari diikuti lalu menoleh ke belakang lalu berkata, 


“Wahai orang muda, apakah kamu tidak malu?”


“Kepada siapa aku harus malu?” Tanya Hasan Basri kembali.


“Malulah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui mata yang berkhianat dan mengetahui apa sahaja yang ada dalam hati” jawab wanita cantik itu.


Hasan Basri semakin tertarik kepada wanita tersebut dan timbullah rasa cinta dalam hatinya serta tidak dapat menahan nafsu. Lalu dia terus sahaja mengikuti wanita tersebut berjalan.


Melihat dia terus diekori, wanita itu berkata lagi, “Mengapa kamu terus mengikutiku?”


Hasan Basri berkata,”Sebenarnya aku terpesona dengan matamu yang cantik itu.”


Mendengar jawapan itu wanita ini berkata, “Baiklah, kerana kamu menyukai mataku ini,tunggu sebentar disini. Aku akan beri apa yang kamu inginkan”. Kemudian dia berlalu pergi.


Hasan Basri sangat gembira dan menunggu-nunggu kedatangan wanita tersebut.


Tidak lama kemudian, datanglah seorang pembantu menghampiri Hasan Basri dan menyerahkan sebuah kotak yang tertutup rapat. Lalu hasan Basri membuka kotak tersebut. Betapa terkejutnya Hasan Basri melihat isi kotak tersebut ternyata sepasang biji mata!
“Tuan puteriku berkata dia tidak memerlukan mata yang menyebabkan terpesonanya seseorang seperti tuan”, kata pembantu itu.


Gementarlah seluruh tubuh Hasan basri dan berdiri bulu romanya saat mendengar kata-kata pembantu itu, lalu iapun memegang jantungnya sendiri dan berbisik, “Celaka betul kamu ini, sudah berjanggut tapi tak punya rasa malu!”


Setelah menyedari kesalahannya itu, maka dia pulang ke rumah dan menangis semalaman kerana menyesali segala perbuatannya itu. Keesokan hari Hasan Basri pergi ke rumah wanita itu untuk meminta maaf. Tetapi ketika sampai dia mendengar suara wanita-wanita menangis, dan bertanya apa yang terjadi. Dan diberitahu bahawa ada yang meninggal kerana mencongkel kedua matanya.
Hasan Basri kembali ke rumah dan menangis selama 3 hari 3 malam dan menyesali segala perbuatan dan kelemahan imannya. Dia bertaubat kepada Allah untuk tidak lagi menjadi lelaki yang tidak sopan.


Pada malam yang ke-3, Hasan Basri bermimpi bertemu dengan wanita tersebut, dan melihat wanita itu telah berada di syurga. Lalu Hasan Basri berkata,”wahai wanita solehah, maafkan kesalahanku terhadapmu” Wanita itu menjawab,”sebetulnya aku telah memaafkan kamu sejak dulu dan aku telah mendapat kebaikan yang banyak dari Allah s.w.t disebabkan kamu.”


Setelah Hasan Basri mendengar pengakuan dari wanita itu, dia memohon nasihat yang baik.


“Dengarlah nasihatku ini; Apabila kamu sendirian hendaklah kamu berzikir kepada Allah s.w.t setiap pagi dan petang, mohon ampun dan bertaubatlah kepadanya.
Akhirnya Hasan Basri melaksanakan segala nasihat wanita itu, sehingga dia mashur dengan ketaqwaannya dan ketaatannya kepada Allah serta mendapat darjat yang mulia di sisi Allah serta menjadi wali kekasih Allah.

                Oleh itu dalam kisah ini, terlalu banyak pengajaran boleh diambil. Dimana perempuan seperti ini di dunia ini sekarang.

Wallahualam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar